Tidak lama dahulu, ada yang mendakwa gambar-gambar muslimah bertudung telah discan dan diedit menjadi seperti sekeping gambar berbogel. Kemudian, paparan beserta bukti bergambar yang menampilkan foto muslimah dieksploitasi sehingga seakan-akan menampakkan susuk badan. Walaupun pada hakikatnya, mereka bertudung dan menutup aurat dengan sempurna, namum ia telah diedit melalui teknik super impose dan sinar-x untuk menampakka bahagian dalam. Dan kejadian ini berulang lagi.
MASLAHAH MUHAQQAH
Terdapat sebahagian muslimah berhujah bahawa gambar-gambar yang menutup aurat walaupun mungkin mendatangkan fitnah kepada lelaki yang melihat, tetapi ia berkemungkinan membuka jalan hidayah kepada ramai wanita lain yang menatap. Pada saya, itu hanyalah andaian semata-mata yang boleh sahaja menjadi sebaliknya, iaitu hanya seorang wanita sahaja yang beroleh hidayah berbanding lebih ramai lelaki yang terfitnah!
Dalam kata lain, ia hanya kebaikan atau faedah yang diandaikan sahaja, sedangkan terdapat kebaikan yang lebih diyakini yang bersumberkan daripada gesaan Allah:
"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kami berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah dahulu. Dirikan solat, Tunaikan zakat dan taatilah Allah dan rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa daripada kamu, wahai ahl- bait (isteri-isteri rasulullah) dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya."
Surah al-Ahzab: 33
PENYAKIT 'AIN
Dalam memaparkan gambar muslimah, sewajarnya usaha mengehadkan penonjolan gambar tersebut dipandang sebagai satu langkah berhati-hatidan menutup jalan yang menuju kerosakan daripada diri muslimah itu sendiri agar dia terlindung daripada sebarang keburukan yang mungkin sahaja timbul kesan daripada banyak dan mudahnya gambar itu diperoleh. Dalam hal ini, satu kaedah fiqah menyebut:
menghilangkan kemudaratan itu lebih diutamakan daripada mengambil sebuah kebaikan.
Antara kemudharatan tersebut ialah penyakit 'Ain yang berpunca daripada tatapan mata. Bermula daripada kekaguman orang yang melihat, diikuti oleh jiwanya yang keji, lalu dia menggunakan mata itu untuk menyampaikan racun jiwanya kepada orang yang dipandangnya.
ROLE MODEL
Sungguh pun menampilkan foto-foto tersebut tidak haram, ia harus dalam agama selagi syarat-syarat penutupan aurat telah diikuti sebaiknya, namun tidak menampakkan satu keperluan yang mendesak untuk Muslimah meletakkan puluhan gambar untuk tatapan khalayak termasuk golongan pendakwah wanita atas nama keperluan dakwah.
Jika beralasankan sebagai role model, sekeping dua atau beberapa keping foto yang sopan (contoh: bersama keluarga, sahabat muslimah atau gambar yang melebihkan objek lain berbanding fokus kepada dirinya sendiri) sudah mencukupi untuk memenuhi tujuan tersebut dan bukan dengan membiarkan sahaja gambar-gambarnya berlegar tanpa had batasan.
Untuk mencari seorang role model berdasarkan kaca mata syariat tidaklah begitu sukar. Ia sebenarnya tidak memerlukan gambar seperti selebriti. Individu yang lebih baik penampilan dan pemakaiannya, maka mereka layak diangkat sebagai contoh ikutan walaupun Muslimah itu hanya seorang makcik tukang sapu. Ini bersesuaian dengan saranan Rasulullah agar melihat orang yang lebih rendah dalam urusan dunia, manakala untuk urusan agama dan akhirat, maka lihatlah kepada individu yang lebih tinggi amalan mereka.
Rasulullah bersabda:
"Lihatlah orang yang lebih rendah (kenikmatannya) daripadamu dan janganlah melihat kepada yang lebih banyak (kenikmatannya) daripadamu agar kamu tidak mencela nikmat yang Allah anugerahkan kepadamu."
~Riwayat Muslim dan Tirmizi~
GAMBAR KITA, TANGGUNGJAWAB KITA
Buat sahabat Muslimah, sesungguhnya kalian memiliki kecantikan sendiri. Ayahanda saya pernah berkata:
"Ada mata, hidung, mulut, cukup kedua-dua telinga, maka cantiklah seseorang itu."
Oleh itu, tahanlah diri daripada meletakkan terlalu banyak gambar lebih-lebih lagi jika gambar itu dalam pose berisi jelingan manja taua senyuman "terlebih gula" yang mampu meluruhkan suka jejaka. Privasikan ia, atau langkah lebih baik, simpan sahaja untuk tatapan peribadi serta keluarga. Rasulullah bersabda:
"Perbandingan dunia dengan akhirat itu seperti salah seorang daripada kalian memasukkan jarinya di laut, kemudian perhatikan apa yang tersisa di jarinya ketika diangkat."
~riwayat Muslam dan Tirmizi~
Hasil tulisan:
NORASLINA JUSIN
SOLUSI ISU No: 42
Sheila Salim says:
Assalamualaikum awak. terima kasih sharing entri ni. insyallah, saya pun nak cuba yang terbaik dalam hidup :)